Produksi Astawana merupakan sebuah produksi seni teater yang akan mementaskan sebuah teater interaktif yang bertajuk ZOMBI SERANG SEKOLAH yang berkonsep tapak khusus oleh Cech Adrea dan merupakan projek pembinaan komuniti hasil kerjasama Sisi Seni dan Sekolah Seni Malaysia Perak. Produksi ini turut menjadi sebahagian daripada Produksi Astawana, projek seni persembahan bagi penilaian akhir pelajar Tingkatan 5 dalam bidang Teater untuk subjek Produksi Seni Persembahan. Dibawah seliaan En. Muhamad Aqil Ridwan bin Jaafar, pementasan ini dilaksanakansebagai medium penilaian akademik ke arah pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia, sambil mengetengahkan pengalaman teater yang imersif dan berasaskan penglibatan komuniti. Produksi ini
akan dipersembahkan pada 20 hingga 21 Jun 2026 secara langsung dan dijalankan melalui dua sesi iaitu sesi pada hari pertama dan sesi pada hari kedua.
Secara keseluruhan, Pengurus Produksi, Pengarah pemasaran, Pengarah Persembahan, Pengurus Pentas dan Sinografer merupakan Jawatankuasa penting untuk dinilai oleh pentaksir. Pelaksanaan produksi ini bertujuan untuk memberi pengalaman baharu kepada murid-murid Bidang Seni Teater SSeMP dalam meningkatkan keyakinan diri, memperkukuh kemahiran persembahan serta mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari dalam situasi sebenar. Pengalaman ini bukan sahaja membantu mereka memahami aspek artistik dalam seni teater,malah mendedahkan mereka kepada tanggungjawab, disiplin dan semangat kerjasama yang amat penting dalam pengurusan sesebuah produksi.
Sehubungan dengan itu, produksi ini akan dikendalikan oleh 8 jawatankuasa utama yang dinilai iaitu terdiri daripada murid-murid tingkatan 5 dan dibantu oleh murid-murid tingkatan 1 hingga 4 Bidang Seni Teater SSeMP. Pelaksanaan produksi ini akan dibimbing oleh En. Muhamad Aqil Ridwan bin Jaafar selaku guru bagi subjek Produksi Seni Persembahan.






